LAWATAN DERHAKA?????

 

Tetap taat....... Dato' Ibrahim masih bergelar Dato'

 

ADILKAH dengan membuat kunjungan hormat sebagai junjung kasih kepada KDYMM Tuanku Ismail Petra di Istana Mahkota atau dilantik selaku Setiausaha Sulit kepada Baginda, hukumannya adalah menarik balik gelaran Dato’ yang sudah lama disandang tokoh Kelantan ini?

Berdosa sangatkah Dato’ Ibrahim Ali dan Dato’ Wan Hashim Wan Daud sehingga diperlakukan sebegini. Pernahkah kita mendengar mereka menderhaka? Mungkin ini boleh dianggap sebagai ‘lawatan derhaka’ daripada mereka yang mahu melihat sendiri situasi dan tahap kesihatan Baginda sekarang.

Bukan untuk menidakkan kuasa yang ada pada ‘Sultan Muda’, YAM Tengku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra, namun adakah ini dilihat satu kejutan selepas satu laporan akhbar mengatakan bahawa Tengku Bendahara, Tengku Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra bakal dilantik Tengku Mahkota tidak lama lagi?

Umum mengetahui bahawa Dato’ Ibrahim adalah seorang pejuang Melayu yang begitu taat pada institusi raja, terutama tanah tumpah darah beliau. Begitu juga dengan Dato’ Wan Hashim yang begitu sinomin dengan pihak keluarga Istana sejak beliau menyandang jawatan Pegawai Daerah (DO) sehinggalah selaku Setiausaha Kerajaan Kelantan (SUK). Kedua-dua mereka amat taat kepada kedudukan Kesultanan Kelantan.

Tanpa perlu kita sedari, sudah banyak upacara pelucutan gelaran kebesaran ditarik oleh YAM Tengku Muhammad Faris Petra sejak Baginda menyandang jawatan Pemangku Sultan tahun lalu sehinggalah dimasyhurkan selaku Sultan Muda tajaan Kerajaan Pas Kelantan. Mengapa perlu jadi begini? Adakah status sebagai rakyat biasa seperti Dato’ Ibrahim dan Dato’ Wan Hashim tiada tempat di hati Sultan Muda?

 

Setia......... Bersama KDYMM Sultan Ismail Petra

 

Bagi Dato’ Ibrahim dan Dato’ Wan Hashim, mereka masih lagi memiliki anugerah bergelar Dato’ daripada KDYMM Sultan daripada Sultan negeri lain. Bagi Dato’ Ibrahim, beliau masih lagi memikul gelaran daripada Sultan Selangor dan Dato’ Wan Hashim menyandang gelaran Dato’ daripada Yang Dipertuan Agong. Kedua-dua mereka masih lagi bergelar Dato’.

Sebenarnya, bagi kami di sulteambo.wordpress.com gelaran sebenarnya adalah satu penghormatan yang diberikan atas kesetiaan serta bakti yang dicurahkan pada negeri Baginda. Tetapi cara pelucutan itu agak memelikkan kerana sebaik sahaja Dato’ Ibrahim mengunjungi Tuanku Ismail Petra untuk bertanya khabar, gelaran beliau dilucutkan. Mengapa ini harus berlaku ketika kehadiran Dato’ Ibrahim mampu membuatkan Baginda gembira dan mampu bergelak ketawa. Sekurang-kurangnya Baginda boleh melupakan seketika masalah dan duka yang dihadapi.

Jadi, ‘tepuk dada tanya selera’. Harap pelucutan ini fikirkan semula kerana gelaran yang dipikul kedua-dua tokoh ini adalah pemberian dan anugerah daripada KDYMM Tuanku Ismail Petra.

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

Leave a comment