Mana lebih utama takhta atau ibu bapa?

KEMELUT Istana Kelantan sebenarnya belum sampai ke penghunjung sekalipun Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, 41, sudah dimasyhurkan sebagai ‘Sultan Kelantan’ Ke-29 pada 13 September lalu, bagi menggantikan ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra.Pengisytiharan Tengku Muhammad Faris Petra disempurnakan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Balai Rong Seri Istana Balai Besar Kota Bharu. Nyata agak misteri?

Khabar dari istana mengatakan keadaan kesihatan Tuanku Ismail Petra semakin pulih, baginda sudah mampu berdiri dan berkomunikasi.

Pelantikan itu dibuat selepas 15 ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang jam 9 pagi pada hari yang sama, sebulat suara memilih dan mengesahkan Tuanku Muhammad Faris sebagai ‘raja memerintah’ dan menaiki takhta Kerajaan Kelantan. Agak menghairankan pemasyhuran ini dibuat agak tergesa-gesa tanpa langsung mengutamakan aspek kesopanan orang Melayu serta mempunyai agenda tertentu atau lebih tepat seperti wujud konspirasi terancang daripada pihak tertentu.

Kami di sulteambo.wordpress.com juga agak hairan mengapa mesyuarat MPN yang diadakan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim tidak dihadiri dua anggotanya iaitu Ahli Parlimen Gua Musang yang juga bapa saudara kepada Tuanku Ismail dan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah serta anakanda bongsu keluaga di raja itu, Tengku Amalin A’Ishah Putri. Adakah kerabat diraja ini tidak bersetuju dengan pemasyhuran Tengku Faris?

Adakah Tengku Razaleigh Hamzah tidak bersetuju? Apapun ketidakhadiran beliau menimbulkan persoalan.

Polemik Istana Kelantan mula tercetus sejak Tuanku Ismail Petra gering pada Mei 2009. Berikutan peristiwa itu, banyak kenyataan bercanggah pelbagai pihak dikeluarkan dan setengah pihak menganggapnya sebagai ‘masalah dalaman’ dan seharusnya diselesaikan secara kekeluargaan.

Nik Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar gagal memainkan peranan sebagai penasihat utama institusi diraja Kelantan ini biarpun dianggap tokoh paling wajar merapatkan jurang yang ada? Malah, pemimpin Pas ini lebih gemar melihat krisis terus berpanjangan dalam Istana Kelantan. Kalau tidak mengapa beliau boleh mengeluarkan kenyataan ‘jangan pula rumah siap pahat masih lagi berbunyi’. Dan kenyataan Nik Aziz ‘diam tanda nasihat’ ketika krisis Istana Kelantan nampak tiada jalan berakhir agak mencurigakan kerana kemelut institusi di raja Kelantan memasuki ‘fasa kedua’ yang dilihat lebih mencabar dan mengelirukan semua pihak sebaik sahaja pelantikan ‘Sultan Kelantan’ yang baru ini.

Bagaikan ‘gong dipalu’, gerakan untuk mencabar kesahihan pemasyuran Sultan Kelantan terus dimulakan dan kekanda Sultan Ismail Petra, YMM Tengku Merjan Sultan Yahya Petra lantang mendakwa ‘Kelantan kini diperintah dua Sultan’. YMM Tengku Merjan mendakwa adindanya (Sultan Ismail Petra) masih Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak melepaskan takhta.

Tengku Merjan sebaliknya mendakwa, pelantikan anak saudaranya, Tengku Muhammad Faris sebagai ‘Sultan Kelantan’ yang baru tidak memenuhi syarat serta melanggar Perlembagaan Negeri, malah menyanggah daripada hukum karma Perlembagaan Persekutuan.

Pemerintah Kelantan boleh diganti dengan tiga cara iaitu Sultan hanya boleh digantikan sekiranya Baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan yang munasabah dan ataupun jika sultan turun takhta.

Dalil YMM Tengku Merjan itu sangat mudah difahami kerana semua syarat berkenaan tidak dipenuhi untuk membolehkan pelantikan Tengku Muhammad Faris sebagai ‘Sultan’ kerana Sultan Ismail Petra masih ada dan tidak langsung melanggar syarat-syarat yang ada sehingga membolehkan Baginda disingkirkan.

YMM Tengku Merjan tetap dengan pendirian akan mempertahankan kenyataannya yang dikeluarkan sebelum ini bahawa mereka yang terbabit dalam usaha menyingkirkan adindanya sebagai penderhaka. Beliau menegaskan, pemasyhuran anak saudaranya sebagai ‘Sultan Kelantan’ boleh disifatkan sebagai cubaan rampasan kuasa.

Justeru, baginya sebarang tindakan menyingkirkan Tuanku Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang sah adalah di luar daripada cara yang ditetapkan Perlembagaan Negeri dan merupakan satu kudeta serta boleh dikategorikan sebagai penderhakaan di bawah Kanun Keseksaan.

Beliau juga mahu pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Negeri perlu campur tangan kerana jika konspirasi itu dilaksanakan akan menyumbangkan kesan yang negatif terhadap negeri yang mengamalkan sistem raja berpelembagaan.

Kekanda Sultan Ismail Petra, YMM Tengku Merjan Sultan Yahya Petra beranggap ‘Kelantan kini diperintah dua Sultan’.

Sebagai kesimpulan daripada kenyataan YMM Tengku Merjan ini, sudah pasti tiada pemerintah yakni Sultan di Malaysia mahu mewujudkan jawatan Pemangku Raja lagi kerana jawatan itu seolah-olah mempunyai kuasa yang sama dengan Sultan yang mana Pemangku Raja bila-bila masa saja boleh alih alih tugas Sultan.

Apa sekalipun, ‘peristiwa 13 September’ itu adalah sejarah baru kesultanan Kelantan. Ini kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah ‘sistem beraja’ di negara ini seorang Sultan baru dilantik ketika Sultan yang sah masih hidup. Apa yang berlaku sebelum ini pelantikan Sultan yang baru hanya dibuat selepas baginda Sultan mangkat.

Pendirian YMM Tengku Merjan untuk mencabar pemasyhuran itu diperkukuhkan lagi apabila Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra melalui peguamnya akan mencabar pertabalan Pemangku Raja sebagai ‘Sultan’ yang baru. Kini, sudah ada tiga petisyen yang menanti Tengku Faris di Mahkamah Persekutuan.

Untuk itu, mahkamah telah diminta menentukan tahap kuasa Pemangku Raja sewaktu baginda Sultan tidak berupaya menjalankan tugasnya. Sebelum ini Tetuan Rashid Zulkifli yang mewakili Tuanku Ismail Petra mengatakan Pemangku Raja merancang meminda Perlembagaan Negeri supaya Baginda Sultan tidak lagi menjadi pemerintah jika tetap tidak mampu menjalankan tugas, untuk jangka waktu lebih daripada satu tahun.

Menurut Rashid, memandangkan isu berkenaan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan, maka adalah tidak wajar atau sah bagi Pemangku Raja bertindak mendahuluinya. Selanjutnya, beliau memberi amaran bahawa percubaan meminda Perlembagaan Negeri boleh menyebabkan Pemangku Raja berdepan ‘dakwaan mencampuri prosiding dan menghina mahkamah’.

Ini bermakna sebarang pindaan dan pertabalan jika diteruskan, akan dicabar kesahihannya oleh baginda Sultan. Perkembangan ini sekali gus menyebabkan krisis keluarga diraja Kelantan semakin meruncing dan beberapa anggota kerabat yang menyokong Sultan Ismail Petra bertegas mahu membawa kes berkenaan ke Mahkamah Khas Raja-Raja di Putrajaya.

Kita tidak menafikan Tengku Muhammad Faris sebagai anakanda sulung berhak menggantikan ayahandanya tetapi biarlah pelantikannya dilihat lebih ‘sopan santun’ serta mendapat restu kedua ‘orang tuanya’. Sekalipun Tuanku Ismail Petra masih gering, baginda masih hidup serta boleh berinteraksi – mengikut sumber dalaman Istana Tuanku Ismail Petra mampu berdiri dan berkomunikasi dengan lebih baik, yakni sudah semakin sihat .

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri ketika mengunjung baginda di Istana Mahkota pada Jun lalu, turut berbual panjang mengenai perkembangan semasa negara.

Jadi, soalnya mengapa pemasyhuran itu semacam ‘misteri’? Nik Aziz Nik Mat selaku seorang ulama dihormati sangat wajar menasihat atau bertindak menghadap Tuanku Ismail Petra bagi mendapat perkenan dan restu kerana baginda masih hidup. Soalnya, mengapa perkara-perkara seumpama ini tidak diberi keutamaan dan diketepikan?

Agak hairan, sebab sejak bila pelantikan Sultan dibuat oleh Menteri Besar. Yang kita tahu selama ini, pelantikan Menteri Besar perlu mendapat perkenan Sultan. Mana lebih besar, Sultan atau Menteri Besar?

Pakar perlembagaan negara, Profesor Emeritus Datuk Shad Saleem Faruqi yang juga Pensyarah Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) turut hairan dengan isu ini kerana mengikut Perkara 63 menyebut Sultan Kelantan boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan jika sebarang keraguan ditimbulkan akibat salah tafsir berkenaan Perlembagaan Kerajaan Kelantan. Begitu juga Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim dalam kenyataannya menegaskan setiap negeri di Malaysia mempunyai perlembagaan tersendiri dan setiap kes harus ditangani mengikut perlembagaan dan undang-undang yang telah termaktub.

Ini kerana sejak 31 Ogos 1957, setiap raja di negara ini telah menjadi Raja Perlembagaan dan perlembagaan itu harus dipatuhi. Bagaimanapun, sekiranya pihak yang menimbulkan keraguan berjaya membuktikan pelantikan berkenaan tidak mengikut lunas-lunas perlembagaan, maka ia tidak sah dan mahkamah berhak menentukan tindakan seterusnya.

Berhubung isu berkenaan, sebaiknya proses yang berlaku pada ‘13 September’ itu seharusnya dibuat lebih terbuka dan telus. Disebabkan proses berkenaan ‘semacam misteri’ dan ‘mengarut, mahu atau tidak mahu krisis Istana Kelantan akan terus dicabar. Diharapkan Kerajaan Persekutuan dan Majlis Raja-Raja tidak hanya ‘berdiam diri’ dan sewajarnya campur tangan segera secara berhemah demi memelihara institusi beraja terus dipandang tinggi serta dihormati rakyat negara ini.

This entry was posted in Uncategorized and tagged . Bookmark the permalink.

One Response to Mana lebih utama takhta atau ibu bapa?

  1. Bro ABR says:

    Marilah kita memohon supaya Allah menunjukan yang mana betul dan yang mana bathil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s